Thursday, January 17, 2008

UMNO sedia hadapi pilihan raya

Oleh Aznan Bakar dan Saifulizam Mohamad / Utusan Malaysia 18 Januari 2008

KUALA LUMPUR 17 Jan. – Jentera pilihan raya UMNO di semua negeri kini sudah bersedia sepenuhnya bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang, kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Presiden UMNO berkata, perkara itu telah dimaklumkan oleh pengerusi-pengerusi badan perhubungan UMNO negeri pada mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) parti itu hari ini dan beliau berpuas hati.

“Saya berpuas hati (dengan persiapan UMNO negeri menghadapi pilihan raya). Mereka kerja kuat,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat itu di Menara Dato Onn di sini.
Namun begitu kata Perdana Menteri, terdapat juga perkara-perkara lain yang perlu diberi perhatian.
Ditanya apakah perkara yang perlu diberi perhatian itu Abdullah berkata: “Tak apalah itu hal kami (UMNO) sajalah yang perlu bagi perhatian. Tak payah cakap kat orang.”

Bagaimanapun katanya, secara keseluruhan persediaan untuk pilihan raya di negeri-negeri adalah baik.
Mengenai kemungkinan akan ada Menteri Besar bertanding di kawasan Parlimen pada pilihan raya umum kali ini, Abdullah berkata, beliau masih belum memikirkan perkara itu.

Ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh mengenai kesediaannya untuk dilantik sebagai menteri Pusat selepas pilihan raya umum akan datang Abdullah berkata: “Siapa nak buat komen, buatlah...”

Semalam Idris berkata, sebagai seorang pekerja parti beliau sanggup berkhidmat di mana saja.
Katanya, walaupun disuruh bertanding untuk kerusi Parlimen beliau bersedia.
Perdana Menteri berkata, beliau juga masih belum membuat keputusan sama ada akan berlaku perubahan pada pucuk pimpinan negeri pada pilihan raya umum akan datang.

“Kita tengoklah... ada perubahan atau tidak ada perubahan (pimpinan negeri),” katanya.
Dalam pada itu beliau berkata, mesyuarat MT hari tidak menyentuh mengenai isu dalam UMNO Perlis.
“Saya rasa tak timbul langsung isu umno Perlis ini. Ia tak dibincang dalam mesyuarat MT tadi,” jelasnya.

Baru-baru ini, Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad dilaporkan sebagai berkata bahawa kepimpinan parti di Perlis perlu diubah termasuk menggantikan Menteri Besar Datuk Seri Shahidan Kassim dengan alasan tidak ada perpaduan dalam UMNO negeri.

Mengenai sesi penerangan khas UMNO pada 22 Januari ini beliau berkata, ia tidak ada kena-mengena dengan pilihan raya.

Sebaliknya kata beliau, ia cuma sesi penerangan biasa dan bukan amanat untuk pilihan raya.

No comments: